KISAH & TAULADAN DARI FILEM PELE : BIRTH OF A LEGEND


pele_film_poster
Seorang tokoh akan menjadi luar biasa hanya apabila beliau mempunyai jati diri yang cukup tekad dan percaya akan jati diri tersebut. Inilah kisah Pele, atau nama sebenarnya, Edson Arantes do Nascimento, yang mana nama panggilan kampungnya, Dico.

Kisah perjuangan anak muda ini menjadi legenda apabila beliau menginspirasikan kemenangan Brazil dalam Piala Dunia pada kali pertama pada tahun 1958. Perjuangan ini bukan biasa biasa. Kerana perjuangan ini memerlukan kebangkitan maruah sebuah bangsa. Ini juga kisah kesungguhan dan perjalanan latihan yang luar biasa; fizikal, mental, emosi, dan jati diri. Entah berapa kali kecewa, tapi jangan pernah putus asa.

Kisah ini dimulakan dengan kesedihan keseluruhan warga Brazil, apabila gagal dalam Piala Dunia 1950 dan seterusnya 1954. Kegagalan ini diertikan dengan kegagalan ‘The Ginga’, stail permainan samba yang menjadi tradisi dan darah daging kaum peladang Brazil sejak abad ke-16 lagi. Harus dicatatkan nota bahawa bola sepak dengan gaya samba ‘The Ginga’ merupakan gaya yang meletakkan semangat kepahlawanan dalam diri warga Brazil. Tradisi kepahlawanan menentang Kapitalis dan melawan kezaliman. Semangat seni bela diri ‘Capoera’ diserapkan dalam keindahan dan samba ‘The Ginga’. Lalu, apabila ‘The Ginga’ disalahkan sebagai faktor kekalahan Brazil dalam Piala Dunia, maka, citra bola sepak ini merupakan isu maruah melibatkan seluruh warga. …Dan, di sinilah bermulanya cerita pejuang legenda, Pele.

Nama ‘Pele’ juga sebenarnya merupakan nama ejekan golongan elit kepada kebodohan pemuda kecil Dico yang punya semangat yang tinggi bersama teman teman sepermainan. Beliau bangkit memulakan kemustahilan seawal usia 9 tahun, membangkitkan semangat ‘The Ginga’ pemuda kampung menentang kumpulan elit yang ego, anak anak orang kaya (barangkali majikannya kulit putih). Perlawanan epik ini yang akhirnya menjadi perhatian Pencari Bakat dari kelab ternama, Santos terhadap bakat dan kemahiran Dico.

Citra kerosakan jati diri ini telah menular ke segenap lapisan kelompok elit masyarakat, sehinggakan mereka merasakan satu satunya cara untuk memenangi Piala Dunia ialah kemestian untuk mengikuti cara Eropah. Apa lagi, tidak pernah berlaku negara Latin memenangi Piala Dunia di tanah Eropah! Jurulatih mereka, Feola, juga berpandangan serupa, dan mengugut Dico agar jangan sesekali menggunakan ‘The Ginga’, jika mahu berada dalam pasukan Brazil.

Pele, bukan berseorangan. Sebagaimana tokoh perjuangan lain lainnya, beliau punya inspirasi dan mentornya, iaitu ayahnya sendiri. Ayahnya tidak pernah berputus asa dengan anak sulungnya ini. Beliau sentiasa punya cara dan kisah buat pengajaran bagi menaikkan semangat Pele. Kata ayahnya, “Kita akan gagal, apabila kita berhenti percaya kepada jati diri kita”.
Katanya lagi pada malam sebelum perlawanan akhir Piala Dunia 1958, ketika Pele berusia 18 tahun, “…untuk memenangi Piala ini, kamu tidak boleh berseorangan. Kamu perlu beri suntikan inspirasi ‘The Ginga’ kepada seluruh pasukan kamu.” dan, itulah yang dibuat oleh Pele. Fahamlah kita, Pele menjadi legenda bukan kerana kehebatannya di atas padang sahaja.

Jurulatih mereka, Feola, akhirnya memutuskan, “Kamu lupakan segala apa yang saya beritahu kamu sepanjang minggu terakhir ini tentang formasi bola sepak Eropah. Kita ini berbeza daripada mereka. Itu yang menjadikan kita indah. Mari kita akan tunjukkan mereka keindahan permainan Brazil.”

…Apabila menonton kisah sebegini, dan melihat kembali diri kita dan sekeliling kita, kita akan tertanya kembali, tanyakan soalan, apakah jati diri orang melayu? orang Malaysia? Apakah yang menjadi maruah kita? Bagaimana kita memartabatkan diri, bangsa yang memaknakan jati diri kita?
Ternyata, perjalanan kita masih jauh lagi…
Anak muda… bangkitlah!

credit to fikrahimayu dot wordpress dot com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...